Rabu, 23 Mac 2016

66:9-10 Tafsir Surah At Tahrim, ayat 9-10

{يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ جَاهِدِ الْكُفَّارَ وَالْمُنَافِقِينَ وَاغْلُظْ عَلَيْهِمْ وَمَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ (9) ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلا لِلَّذِينَ كَفَرُوا اِمْرَأَةَ نُوحٍ وَامْرَأَةَ لُوطٍ كَانَتَا تَحْتَ عَبْدَيْنِ مِنْ عِبَادِنَا صَالِحَيْنِ فَخَانَتَاهُمَا فَلَمْ يُغْنِيَا عَنْهُمَا مِنَ اللَّهِ شَيْئًا وَقِيلَ ادْخُلا النَّارَ مَعَ الدَّاخِلِينَ (10) }


"9. Hai Nabi, perangilah orang-orang kafir dan orang-orang munafik."
Allah s.w.t. berfirman, memerintahkan kepada RasulNya untuk berjihad melawan orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Terhadap orang-orang kafir dengan memakai senjata dan perang, dan terhadap orang-orang munafik dengan menegakkan hukum-hukum Allah atas mereka.
"dan bersikap keraslah terhadap mereka."
Iaitu di dunia ini.
"Tempat mereka adalah neraka Jahanam, dan itu adalah seburuk-buruk tempat kembali."
Iaitu di akhirat.
"10. Allah membuat perumpamaan bagi orang-orang kafir."
Yakni dalam pergaulan mereka dengan kaum muslim, begitu pula sebaliknya, bahawa hal tersebut tidak membawa manfaat apa pun bagi mereka dan tidak dapat membela mereka di hadapan Allah, jika iman tidak meresap ke dalam hati mereka.
"seperti isteri Nuh dan isteri Lut. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami."
Iaitu dua orang nabi lagi rasul yang selalu menemani keduanya dan menjadi teman hidup keduanya di siang dan malam hari. Keduanya teman semakan, teman seketiduran, dan teman sepergaulan, sebagaimana layaknya pergaulan antara suami dan isteri.
"lalu kedua isteri itu berkhianat kepada kedua suaminya."
Tiada seorang wanita pun dari isteri seorang nabi yang berbuat serong (zina).
Sesungguhnya semua isteri nabi di ma'sum kan dari perbuatan yang keji (zina), kerana kehormatan para nabi yang menjadi suami mereka.
Pengkhianatan yang dilakukannya hanyalah dalam masalah agama dan iman. Keduanya tidak seiman atau seagama dengan suaminya masing-masing, dan tidak membenarkan pula kerasulan keduanya.
Adapun pengkhianatan yang dilakukan oleh isteri Nuh a.s. ialah kerana dia memberitahukan kepada kaumnya bahawa Nuh gila. Dia sentiasa mengintip rahsia Nabi Nuh a.s. Apabila ada seseorang dari kaumnya yang beriman, maka isterinya memberitahukan hal itu kepada orang-orang yang bertindak sewenang-wenangnya dari kalangan kaumnya.
Sedangkan pengkhianatan yang dilakukan oleh isteri Lut a.s. ialah, apabila Lut kedatangan tetamu lelaki, maka ia memberitahukan kepada penduduk kota yang suka dengan perbuatan keji (sodomi).
"maka kedua suaminya itu tidak dapat membantu mereka sedikit pun dari Allah."
Kerana keduanya kafir. Maka semuanya itu tidak dapat memberi manfaat apa pun bagi keduanya dan tidak dapat pula menyelamatkan keduanya dari hal-hal yang harus dihindari.
"dan dikatakan."
Kepada kedua wanita itu.
"Masuklah ke neraka bersama orang-orang yang masuk."
Mereka diazab bersama orang-orang yang masuk neraka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...